SABAK BERNAM – Kelemahan jaringan jalur lebar, talian telefon serta kerosakan jalan raya yang berlarutan lebih tahun 15 di sekitar utara Selangor hanya boleh diatasi jika wakil rakyat dipilih dalam kalangan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Sabak Bernam, Datuk Seri Eizlan Yusof memberi jaminan itu untuk menyelesaikan ‘jilid buku’ isu rakyat sekiranya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Sabak Bernam pada 19 November ini.

Jelasnya, penduduk setempat masih dibelenggu dengan isu utama itu sedangkan masalah infrastruktur sepatutnya boleh diatasi lebih awal jika wakil rakyat sebelum ini benar-benar bertanggungjawab.

“Walaupun saya hanya calon luar, saya sudah lama bergerak dengan NGO dan amat memahami denyut nadi rakyat.

“Sepanjang lebih seminggu di Parlimen ini, saya mendengar masalah rakyat ibarat ‘satu jilid buku’ yang perlu diselesaikan.

“Kelemahan isyarat jalur lebar (Internet) dan talian telefon menjadi keutamaan saya bagi rakyat di Sabak Bernam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Eizlan yang juga pelakon dan pengarah berkata, walaupun tempoh kempen PRU15 hanya berbaki empat hari, namun beliau memilih kaedah berkempen secara bersemuka.

“Saya ini membesar dalam masyarakat B40, jadi kita tahu pendekatan mendekati masyarakat dengan menjadi diri kami.

“Sebab itu kami tidak beriya-iya nak berkempen dan sebagainya. Sekiranya saya berkempen buat kemah besar, saya berada di hadapan, tapi orang di belakang mungkin tidak begitu mengenali saya.

“Bila kita duduk menyantuni masyarakat, mereka akan lebih rapat dengan saya dan rakyat lebih selesa untuk berkongsi isu-isu sedia ada,” katanya.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan juga berhasrat menubuhkan Jawatankuasa Komuniti Parlimen melibatkan penduduk bagi mengenal pasti isu setempat.

“Saya berasal daripada keluarga susah dan amat memahami masalah rakyat terutama golongan B40.

“Justeru, penubuhan jawatankuasa di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) itu perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku,” jelasnya.

Eizlan komited untuk meneruskan khidmat dan baktinya di Parlimen Sabak Bernam dan menjadi kumpulan pendesak sekiranya gagal memenangi kerusi P092 itu.

“Saya adalah orang yang suka bekerja dan bukan hanya bercakap kosong semata-mata.

“Jika kalah sekali pun, saya akan terus mendesak wakil rakyat supaya menyelesaikan apa sepatutnya selaras dengan tanda pagar #jomkitabuatkerja,” katanya.

Eizlan berdepan saingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd. Rahman Bakri; Kalam Sahlan (PN) dan Shamsul Ma’arif Ismail (PH).

Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh yang mewakili BN namun bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast