Calon Barisan Nasional P.085 Pekan, Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali pada Majlis Ramah Mesra DUN Chini sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Dato Shahbandar Dara, Chini, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2022.

PEKAN – Menggalas tugas berat untuk mengekalkan kerusi tradisi Parlimen Pekan, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali tetap yakin dapat menyambung perjuangan ‘Bossku’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Sh Mohmed Puzi, aura dan sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak di Pekan, beliau yakin dapat meneruskan kelangsungan perjuangan bekas Perdana Menteri itu.

“Bukan sekadar mahu menyebut ‘aura Bosku’ sahaja, namun memang jasad adalah milik saya, tetapi rohnya adalah ‘Bosku’,” katanya.

“Kelangsungan inilah yang penting untuk rakyat di Pekan, katanya.

Namun, tidak adil untuk menyatakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya itu hanya bergantung kepada aura Najib untuk meraih undi daripada warga Pekan.

Jelas Sh Puzi, beliau memang sudah dikenali masyarakat kerana telah berbakti lebih 10 tahun di samping bekas Perdana Menteri itu.

“Saya secara peribadi sangat yakin boleh mengekalkan kerusi BN di Pekan kerana telah membuktikannya di Peramu Jaya.

“Saya mendapat perhatian rakyat kerana telah betul-betul berkhidmat kepada masyarakat, bukannya ‘YB’ bermusim,” katanya.

.

Menteri Besar Pahang yang juga calon Barisan Nasional N.02 Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama calon BN P.085 Pekan, Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali serta calon BN N.23 Chini, Mohd Sharim Md Zain bergambar kenangan dengan barisan jentera dan penduduk yang hadir pada Majlis Ramah Mesra DUN Chini sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Dato Shahbandar Dara, Chini, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2022.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Majlis Ramah Mesra di Chini bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Dato Shahbandar Dara, di Chini hari ini.

Dalam PRU kali ini, Sh Mohmed Puzi bakal berhadapan tiga lagi pesaing yang cuba merampas kerusi Pekan daripada BN, iaitu Mohd Naim Zainal Abidin (PKR – PH), Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (Pas – PN) dan Mohd Radhi Abdul Razak (Pejuang – GTA).- MalaysiaGazette