Maszlee Malik (kiri) berhadapan dengan seorang lelaki yang mempersoalkan perkhidmatan yang telah beliau berikan sebagai wakil rakyat di Kampung Ithnin Maarof, Simpang renggam, Johor, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan yang juga penyandang kerusi parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik memohon maaf kepada penyokong UMNO kerana kata-katanya dalam video yang tular hari ini.

“Saya memohon maaf jikalau kata-kata saya mengguris hati penyokong UMNO apabila membuat generalisasi terhadap pakcik yang ketika itu sedang marah,” katanya.

Dalam hantaran di laman sosial, Maszlee berkata, beliau mengeluarkan kata-kata: “Dah rakam? Inilah perangai UMNO” dalam reaksi kepada tindakan seorang lelaki yang menghalaunya ketika berkempen.

Lelaki yang merupakan penduduk kampung di situ bertanya kepada Maszlee apa yang beliau telah buat sepanjang menjadi wakil rakyat di situ dan memintanya beredar dari kawasan tersebut.

Lelaki berkenaan berkata, orang politik tidak dibenarkan berada di situ manakala Maszlee pula mempertahankan kehadirannya adalah untuk membantu rakyat.

Maszlee sempat bertanya kepada penyokongnya “dah rakam?” sambil menyambung dengan menyamakan tindakan lelaki itu menghalaunya keluar adalah perangai orang UMNO.

Lelaki tersebut membalas bahawa beliau tidak berminat dengan politik dan bukan orang UMNO.

Terdahulu sebelum masuk ke kawasan tersebut, seorang lelaki juga memarahi Maszlee dan bekas menteri pendidikan itu membalas dengan berkata: “Anak cucu pakcik malu tengok perangai macam ni.”

Bagaimanapun, keadaan itu ditenangkan dua anggota polis yang berada di lokasi kejadian. –

Sementara itu dalam hantaran yang sama, Maszlee memuji calon Barisan Nasional di Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad yang menurut beliau bersikap profesional ketika mereka terserempak semasa berkempen. – MalaysiaGazette