KUALA LUMPUR – Datuk M. Mohana yakin mampu menawan Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan sokongan daripada pengundi muda yang cagna akan pentingnya kehadiran Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut.
Mohana berkata, sudah tiba masa Kuala Langat melakukan perubahan selepas 15 tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan yang hanya memperlihatkan janji yang ditabur tidak dilaksanakan
“Tinjauan saya mendapati memang masalah di Kuala Langat adalah mereka memerlukan perubahan. Bayangkan setelah 15 tahun PH memerintah di sini, masih banyak masalah belum diselesaikan terutamanya masalah asas seperti jalan raya, sampah dan perumahan.
“Saya yakin ini satu perkara yang positif, di mana pengundi 18 di kawasan ini akan undi BN dan terdapat ramai anak muda dari PH dulu telah beralih menyokong kita, mungkin PRU dulu mereka tidak faham.
“Sekarang mereka nampak kesalahan PH dan betapa pentingnya BN kepada negara. Saya juga akan terus menyampaikan informasi kepada wanita di seluruh Kuala Langat untuk turut bersama dengan pemuda menyokong BN pada PRU ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Pada 19 November ini, Mohana akan ditentang calon Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, G.Manivanan (Pakatan Harap), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (Parti Pejuang Tanahair), Zanariah Jumhuri (Bebas) dan M Ganeskumar (Parti Rakyat Malaysia).
Mohana yang juga Ketua Wanita MIC Kebangsaan berjanji akan setia dengan BN dan tidak akan melompat parti walaupun sudah wujud undang-undang untuk menghalang tindakan tersebut dalam kalangan Ahli Parlimen.
Beliau yang mesra dipanggil Kak Mona dalam kalangan masyarakat Kuala Langat menganggap tindakan melompat parti perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana mandat diberikan pengundi perlu dijaga.
Mengulas mengenai manifesto BN untuk Kuala Langat, beliau berkata, antaranya menambah baik hospital, mengatasi masalah infrastruktur seperti jalan raya berlubang, perparitan dan lampu jalan.
Selain itu, Mohana berhasrat membina pusat khidmat Ahli Parlimen bagi memberi bantuan kepada masyarakat setempat. – MalaysiaGazette