KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan sebarang pertanyaan pada sesi sidang medianya, sebelum ini.
Geramm berkata, tiada keperluan untuk suruhanjaya itu mengadakan sidang media sedangkan ia hanya sesi kenyataan yang dibuat oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
“Media bukan burung kakak tua. Tugas media adalah untuk bertanya, bukan hanya mendengar secara sehala dan melapor sesuai ‘selera’ yang punya acara.
“Memasuki minggu kedua tempoh berkempen bagi PRU15, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menerima aduan tentang sesi sidang media Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia yang diadakan di Putrajaya.
“Terutama, tidak ada ruang diberikan kepada media yang hadir untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak pengurusan SPR berhubung hal-hal berkaitan proses PRU15,” kata Geramm dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan SPR telah mengadakan dua sesi sidang media sebelum ini iaitu pada tarikh pengumuman Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dan pengesahan jumlah calon yang bertanding pada PRU15, namun tiada sesi pertanyaan lisan dibuat.
Geramm berkata, SPR mempunyai peranan penting yang mana badan itu adalah sumber maklumat rasmi mengenai proses pilihan raya dan media perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
Katanya, kegagalan SPR untuk membuka ruang bagi media mendapatkan penjelasan lanjut berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, sekaligus melemahkan sistem demokrasi.
“Antara lain, sehingga kini pihak SPR masih belum memberi sebarang penjelasan berkenaan prosedur mengundi bagi mana-mana individu yang disahkan positif Covid-19, susulan kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah semalam.
“Geramm menegaskan tidak ada keperluan untuk menjemput media hadir secara fizikal sekiranya pihak SPR enggan melayan sebarang pertanyaan.
“Cukup dengan menghantar kenyataan bertulis atau sesi live online, akan lebih menjimatkan masa semua pihak,” kata Geramm lagi. – MalaysiaGazette