Pengerusi Perikatan Nasional, yang juga calon Perikatan Nasional P.143 Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Program Ceramah Jelajah Perikatan Naisonal (PN) Best di Padang AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 NOVEMBER 2022.

GOMBAK -Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan hanya mementingkan jawatan dan kuasa berbanding memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini dibuktikan apabila Presiden PKR itu kurang bercakap mengenai agenda untuk membangunkan negara dan membantu rakyat.

“Bagi dia (Anwar) itu tidak penting. Belah sana (PH) tidak sebut pun. apa yang penting jawatan dia. Bagi saya bukan jawatan tetapi perkhidmatan. Kita mahu beri perkhidmatan terbaik untuk bawa Malaysia kembali ke landasan prihatin, bersih dan stabil.

“Dia tidak boleh mendabik dada mengatakan dia mendapat sokongan yang besar. Saya pun boleh kata begitu.

“Tetapi apa yang penting kita serahkan kepada pengundi untuk membuat pertimbangan yang bijaksana. Saya juga sudah jelaskan panjang lebar apa yang PN tawarkan dan perjuangkan, katanya ketika mengulas dakwaan Anwar yang mengatakan PH sedang jauh mendahului sokongan pengundi berbanding parti lawan menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berucap pada program Ceramah Jelajah PN Best di padang Au2, Keramat, di sini, malam tadi.

Tambah Muhyiddin, PN ketika ini telah mendapat sokongan Melayu yang cukup besar tetapi mereka tidak boleh terlalu selesa dan akan terus berusaha untuk meraih undi kaum lain.

“Kita sudah menilai dan mengkaji sentimen rakyat terhadap PN. Majoriti Melayu memberi sokongan terhadap PN.

“Cuma dalam tempoh beberapa hari lagi ini, kami perlu berusaha lebih untuk meraih undi daripada kaum-kaum lain termasuk di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memohon kepada penjawat awam yang akan mengundi awal untuk memberi sokongan kepada PN pada PRU15 ini. – MalaysiaGazette