KUALA LUMPUR – Penyandang Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berjanji tidak akan mengambil gaji dan elaun sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas 19 November ini.
Beliau berkata, gaji dan elaun itu melibatkan khidmatnya jika diperlukan sebagai menteri atau timbalan dalam Kabinet.
Menurut Ketua Penerangan PKR itu, beliau ingin mencontohi jejak presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini akan mengambil tindakan sama sekiranya menjadi perdana menteri.
“Di hadapan tuan-tuan dan puan-puan, jika presiden parti berikrar tidak ambil gaji, saya juga tidak akan ambil gaji dan elaun.
“Apa yang saya akan buat, wujudkan sebuah tabung supaya saya boleh sampaikan bantuan kepada rakyat dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ngeteh Bersama Anwar Ibrahim di Bazaria Pantai, Lembah Pantai di sini hari ini.
Pada PRU15, Fahmi akan berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlan Askolani, Abu Bakar (Perikatan Nasional) dan Dr Noor Asmah Mohd Razali dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pada PRU14, kerusi Lembah Pantai dimenangi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon Bersatu, Fauzi Abu Bakar
Fahmi mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi). – MalaysiaGazette