Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR- “Saya tidak boleh bayangkan mood dalam WhatsApp chat group PN hari ini,” kata calon Pakatan Harapan (PH) Segambut dalam ciapan di Twitternya, hari ini.

Hantaran Hannah Yeoh itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan “terlepas cakap” mengatakan parti itu sedia berunding dengan Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon Perikatan Nasional (PN) Kota Bharu itu terpaksa mengeluarkan satu kenyataan ringkas yang mengatakan kata-katanya telah disalah tafsir selepas ‘bossnya’ Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau tidak pernah melantik Takiyuddin untuk berunding dengan BN.

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik adalah balasan warga Twitter terhadap ciapan pemimpin DAP itu.

Menurut pemegang akaun bernama AzahaZu, Hannah tidak perlu masuk campur urusan PN sebaliknya beliau perlu fokus untuk mendapatkan lebih momentum pengundi memilih PH.

“Fokus sahaja kepada Nga Kor Ming supaya dia tidak membuka mulut dan beri peluru percuma kepada lawan. Jika tidak, semua usaha parti jadi sia-sia,” kata pemilik akaun Twitter bernama Mar.

Manakala pemilik akaun bernama Kanesh pula meminta Hannah menasihati Kor Ming supaya membuat kenyataan yang lebih dihormati.

“Semua usaha calon PH yang lain mungkin akan musnah disebabkan ucapan-ucapan berbaur perkauman.

“Jangan jatuh ke dalam perangkap Pas!” katanya.

Dua hari lalu, Kor Ming mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan sekiranya para pengundi memilih PN yang ditunjangi Bersatu dan Pas.

Kenyataan dalam bahasa Mandarin itu adalah bagi menghalang pengundi bukan Melayu memberikan undi mereka kepada PN walaupun gabungan parti itu turut disertai Gerakan.-MalaysiaGazette