Tan Sri Abdul Hadi Awang.- Foto MALAYSIA GAZETTE, 15 November 2022.

MELAKA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada bekerjasama untuk membentuk kerajaan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terpalit kes rasuah.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, senario itu berubah jika pemimpin BN yang menang itu ‘bersih’ daripada kes rasuah.

“Sebab itu, kita tengok keputusan PRU15 yang menang siapa, (calon BN) bersih ke yang ‘keruh’, kalau yang keruh fikir-fikirlah…yang ‘bersih’ (tiada kes rasuah) lain cerita.

“Adapun PRU ini banyak (calon BN) dicantas, (Tan Sri) Annuar Musa, (Datuk Seri) Shahidan Kassim, (Datuk Seri Dr) Adham Baba, (Tan Sri) Noh Omar dicantas, banyak yang dicantas pemimpin (dipilih BN) ini diambil yang sebulu dengan dia dan yang boleh selamatkan kes-kes dia di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Santai Petang Bersama Presiden Pas di Taman Desa Cheng Perdana, di sini lewat petang tadi.

Pada PRU15 19 November ini, BN menggugurkan beberapa tokoh besar dalam parti itu yang juga penyandang kerusi Parlimen antaranya Annuar (Ketereh), Shahidan (Arau), Dr Adham (Tenggara), Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran) dan Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Ditanya adakah ia bermaksud Pas sedia bekerjasama dengan pemimpin BN sekiranya keputusan PRU15 dimenangi calon yang tiada kes rasuah, Abdul Hadi mengiyakannya.

“Kalau kita boleh menang sendiri, dengan majoriti dua pertiga atau majoriti mudah tak perlu kepada orang lain dan (tapi) bila orang nak datang kepada kita, kita mengalu-alukan kalau nak buat perubahan.

“Yang tiada ada kes mahkamah kita terima dan (macam) Shahidan kita beri bertanding atas calon PN (di Arau), Ismail Mutalib bertanding di Pahang (Maran) kita ambil jadi calon kita tak ada masalah.

“Cuma proses nak tukar calon itu terlalu dekat dengan penamaan calon, kita sempat buat dua orang sahaja dan kita difahamkan berlaku satu momentum di Perlis serta Pahang dan insyaAllah kita boleh tawan dua negeri itu,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Antara manusia paling bangang aku pernah jumpa…Muhyidin tu bersihkah? Dia dapat duit dari UKSB tp tak didakwa…Azmin tu bersih kah? dia ada skandal homoseksual…Gerakan tu bersihkah? Gerakan yg saman utk sekat undang2 hudud…ko dah lupa kaaa? bodoh punya lebai..mulut longkang lidah pemfitnah tegar

Comments are closed.