Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali yakin pengundi muda akan memberi sokongan kepada beliau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, ini kerana terdapat pertambahan pengundi yang besar iaitu melebihi 17,000 yang merangkumi pengundi berusia 18 hingga 21 tahun.

Menurut beliau, pengundi muda pula dianggarkan sebanyak 12,000 orang dan bakinya adalah pengundi pertama kali.

“Ini adalah cabaran untuk saya agar terus mendekatkan diri dengan pengundi.

“Dalam tempoh kempen ini sambutan terhadap kehadiran saya cukup baik memandangkan saya telah sedaya upaya memberi khidmat bakti yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Jelajah PN Best Gombak di Keramat malam ini.

Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menambah, beliau bukan sahaja akan menumpukan pembangunan infrastruktur di Gombak.

Sebaliknya, sebagai wakil rakyat beliau mahu menjadikan Gombak sebagai sebuah bandar sejahtera kepada penghuninya pada masa akan datang.

“Gombak sebagai bandar sejahtera bukan sekadar ada taman perumahan dan masjid tetapi turut menyediakan pekerjaan berkualiti kepada anak-anak muda demi masa depan mereka,” katanya.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional yang juga alon Perikatan Nasional P.098 Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika berucap pada Program Ceramah Jelajah Perikatan Naisonal (PN) Best di Padang AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 NOVEMBER 2022.

Pada PRU15, Azmin yang penyandang Parlimen Gombak berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahankan parlimen itu.

Beliau menerima saingan sengit daripada calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari selain Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN).

Turut menyertai saingan di kerusi itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Kerusi Parlimen Gombak menjadi antara tumpuan kerusi panas dalam saingan PRU kali ini, dengan PH menjadikan kerusi itu sebagai medan menebus maruahnya.

Ini ekoran keputusan Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR pada Februari 2020 bertindak keluar parti bersama kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR lain.

Pada PRU14 lalu, Azmin menang di kerusi itu dengan majoriti 48,721 undi. – MalaysiaGazette