Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur telah menerima sebanyak 110 aduan berhubung pelbagai jenis kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sedang berjalan termasuk perbuatan khianat terhadap bahan kempen calon dan parti.

Sehingga semalam, pihaknya turut membuka sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menjangkakan jumlah laporan polis berkaitan kesalahan semasa berkempen meningkat menjelang hari proses membuang undi pada 19 November ini nanti.

“Oleh demikian kita menasihatkan semua pihak agar meraikan amalan demokrasi pada PRU kali ini secara patriotik dan berhemah serta terus mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya kepada pemberita di sini.

Azmi berkata demikian selepas melawat ke pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, tambah Azmi bagi memastikan kelancaran sepanjang proses kempen yang berlangsung ibu negara, pihaknya telah menugaskan pasukan khas untuk melakukan pemantauan serta kawalan rapi mengelak sebarang kemungkinan kelak.

Katanya pasukan khas itu akan bertanggungjawab memantau segala situasi sepanjang kempen dan juga pada hari mengundi Sabtu ini daripada mengelak sebarang bentuk provokasi yang boleh mendorong kepada gangguan ketenteraman awam disusuli tindakan tegas terhadap pelaku.

“Kita juga berharap semua pihak yang mengambil bahagian dalam PRU untuk melakukan proses itu dengan bijak, matang serta berhemah,” tegasnya.-MalaysiaGazette