Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal tiga calon lain yang bertanding dengannya enggan menyertai debat malam ini.

KUANTAN – Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal tiga calon lain yang bertanding dengannya enggan menyertai debat malam ini.

Katanya, mereka sepatutnya mengambil peluang tersebut bagi menerangkan situasi dan keadaan semasa kepada warga di Parlimen itu.

“Saya dijemput oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai debat ini dan saya terima undangan itu dengan hati terbuka kerana itu satu kesempatan kepada semua calon menerangkan manifesto sendiri atau parti yang diwakili atau sebagainya.

 “Jadi saya kesal ketiga-tiga rakan saya yang bertanding di sini memilih untuk tidak datang. Saya menganggap debat seperti ini penting kerana pertama ia boleh meningkatkan tahap diskusi dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Debat calon Indera Mahkota sepatutnya berlangsung malam ini di Dewan Atabara Indera Mahkota merupakan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Wong Ser Warrior 294.

Tujuan debat diadakan adalah bagi mengulas, membincang dan membahaskan senario politik semasa dan manifesto parti masing-masing sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain Saifuddin, debat itu pada awalnya dirancang membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Quek Tai Seong dan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail.

Namun Quek dan Zuraidi dikatakan sudah memaklumkan yang mereka tidak berminat menyertai debat tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang  mempersoalkan kemampuan calon yang tidak berminat berdebat sedangkan ia menjadi syarat utama apabila berada di Parlimen kelak.

Dalam masa sama, Saifuddin juga mengulangi komitmen untuk memberi tumpuan memulihkan ekonomi demi masa depan rakyat di Indera Mahkota sekiranya memenangi parlimen itu buat penggal kedua pada PRU15.

Jelas beliau, Indera Mahkota akan dibangunkan sebagai hab ekonomi digital dengan merancakkan aktiviti untuk syarikat pemula buat anak muda selain membantu perniagaan usahawan industri kecil dan sederhana. – MalaysiaGazette