Tuan Ibrahim Tuan Man

BERA – Biar apa pun ramalan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – Perikatan Nasional (PN) tetap yakin dapat membentuk kerajaan pada 19 November ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan keyakinan itu berlandaskan sokongan dan mood perubahan yang ditunjukkan rakyat akhir-akhir ini.

“Trend sokongan semakin meningkat ini dijangka akan lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Kuala Lipis dan Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pengundi muda mahu sebuah kerajaan yang bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Mereka tidak lagi berminat menyokong Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan kemelut kluster mahkamah dan salah laku dalam kalangan sebahagian pemimpinnya.

“Rakyat dan penjawat awam juga telah serik di bawah Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau,” tambahnya.

Tuan Ibrahim juga berkata, buat masa ini, tidak timbul soal gabungan politik antara parti-parti yang bertanding dan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula hanyalah pilihan sedia ada sebelum ini.

“Namun bagi PN, usaha berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat mesti ditingkatkan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Takiyuddin berkata, PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain terutama BN pada PRU15 kali ini.

Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik, tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi majoriti sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan.

Namun, hari ini Pas menafikan laporan berita tersebut manakala Takiyuddin menegaskan, kenyataannya telah dipetik di luar konteks untuk mengelirukan pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast