Calon BN N.39 Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (tengah) bersama Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat risalah Inisiatif Keluarga Malaysia ketika pada Program Kenduri Rakyat bersama Komuniti Bandar Kemayan sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kemayan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

BERA – Bersedia bantu golongan generasi kedua di Felda menjadi matlamat calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan.

Khaizulnizam Mohamad Zuldin atau lebih dikenali sebagai Angah berkata, sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) usaha itu akan lebih mudah.

“Untuk hari-hari terakhir kempen ini tumpuan kepada Felda, di Kemayan ada tujuh kawasan Felda bagi generasi kedua dengan memberi taklimat kepada mereka.

“Ia sudah diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Ismail Sabri Yaakob) dan jika saya menang di DUN Kemayan, keputusan mengenai lot Felda akan lebih mudah untuk berurusan dengan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Khaizulnizam Mohamad, sepanjang berkempen, mood pengundi di Kemayan memberi kesan positif kepada BN.

Malah bukan sahaja kaum Melayu malah pengundi Cina dan India juga dilihat ada peningkatan dalam sokongan terhadapnya.

Beliau juga yakin sekiranya majoriti kemenangan BN pada PRU14 adalah 4,000 kali ini ia meningkat lebih daripada itu.

“Yakin seratus peratus menang itu kerja Allah tapi insya-Allah BN akan kekalkan DUN Kemayan dengan majoriti yang lebih dari dulu,” katanya.

DUN Kemayan di bawah Parlimen Bera selain DUN Guai dan DUN Triang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast