Datuk Seri Anwar Ibrahim

SUNGAI BULOH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan pihak tertentu dalam Pas yang menggunakan agama untuk menyebarkan kebencian dan fitnah terhadap dirinya dalam tempoh berkempen.

Menyentuh kenyataan Ketua Pas Perak Razman Zakaria baru-baru ini, Presiden PKR itu menegaskan Islam tidak membenarkan perbuatan fitnah.

“Ketua Pas Perak ini bodoh! Mana boleh orang Islam cakap begitu. Dia kata begitu sebab dengar temubual saya dengan BBC.

“Kamu tidak reti orang putih (Bahasa Inggeris). Dengarlah dulu apa yang saya kata. Jangan fitnah, kita semua nak menang termasuk saya. Tetapi jangan khianat, jangan fitnah orang, jangan maki hamun orang,” katanya.

Anwar mengulas dakwaan Razman yang mengatakan beliau akan mempromosikan LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis.

Ekoran itu Anwar telah menghantar surat tuntutan maaf dan ganti rugi kepada Razman.

Walau bagaimanapun Razman menegaskan tidak akan tunduk kerana mendakwa beliau tidak memfitnah Anwar.

Ujarnya dakwaan yang dibuatnya adalah berdasarkan agenda songsang yang terserlah dalam pemerintahan PH selama 22 bulan.

Anwar berkata sebelum ini beliau tidak mahu menyerang Pas kerana hormat terhadap perjuangan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bersama-sama pembangkang sebelum ini. -MalaysiaGazette