KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua agensi yang terlibat dalam operasi banjir menitikberatkan koordinas.
Ini bagi memastikan proses menyelamat dan misi bantuan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan cepat, berkesan dan tepat.
Tambah baginda, kordinasi yang baik antara semua agensi amat penting bagi memastikan tiada pertindihan tugas berlaku semasa operasi menyelamat dan misi bantuan dijalankan.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada sesi sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi kerajaan di Istana Negara, hari ini.
Titah itu dikongsikan Istana Negara menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada sesi berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenaan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.- MalaysiaGazette