Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Keputusan sesuatu dasar akan lebih cepat dicapai dengan barisan jemaah menteri yang lebih kecil dengan keanggotaannya terdiri daripada pelbagai kepakaran.

Calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana ia melibatkan jumlah kementerian yang sedikit berbanding sebelum ini. 

“Jadi kalau nak buat keputusan, boleh dilaksanakan sesuatu polisi ini dengan cepat, sebab dia tak payah melibatkan banyak kementerian.

“Maksudnya, orang sama boleh laksanakan pelbagai polisi. Kadang-kadang polisi bagus tapi nak laksanakan lambat.

“Sebagai contoh, kementerian ekonomi boleh bergabung dengan Kementerian Kewangan sebab masih dalam kerja sama,” katanya pada pemberita selepas program Majlis Jalinan Mesra Sahabat Usahawan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Titiwangsa, di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra bersama Usahawan yang hadir pada Majlis Jalinan Mesra Sahabat Usahawan Titiwangsa di Dewan Komunti, Taman Maluri, Selangor. Foto MUHD NA’I, 16 NOVEMBER 2022.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen untuk mengecilkan saiz Kabinet dengan keanggotaannya turut diisi tenaga teknokrat sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengakui saiz Kabinet  lalu terlalu besar, Ismail Sabri berkata barisan Jemaah Menteri di bawah kepimpinannya selepas ini akan terdiri daripada mereka yang memiliki pelbagai kepakaran.

Menurut Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II, langkah mengecilkan Kabinet juga dilihat memudahkan pengurusannya berikutan kurangnya unsur-unsur berpolitik.

“Saiz kabinet kecil ini senang, kurang berpolitik, mesyurat pun cepat habis, jadi pelaksanaan boleh buat awal dan cepat sebab kita hendak kejar masa.

“Kita tertinggal empat tahun setengah kerana berdepan dengan Covid19 dua tahun. Kalau kita sudah tertinggal belakang, kita akan terlepas untuk menarik pelaburan yang dapat memberi peluang pekerjaan, “ ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kesediaan beliau jika dilantik menjadi menteri, Johari berkata, beliau sedia menggunakan kepakarannya dalam bidang korporat namun perkara itu perlu ditanya kepada Perdana Menteri ketika itu.   MalaysiaGazette