KULIM – Seorang warga emas berusia 71 tahun patah tangan dan kaki selepas tergelincir di laluan tanjakan pintu masuk Pasar Borong Taman Kenari di sini, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan anaknya, Dr. Muhammad Tawfik Yaakub yang kecewa selepas penguatkuasa Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) hanya melihat kejadian itu tanpa menghulurkan bantuan.
“Terdapat enam penguatkuasa MPKK di tempat kejadian semasa ibu saya terjatuh dan mereka melihat keadaan itu tetapi langsung tidak bertindak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tawfik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya meluahkan rasa syukur selepas orang awam dan peniaga yang berada di kawasan berkenaan tampil membantu ibunya.
Katanya, walaupun sudah ramai pengunjung dan peniaga bersuara dengan tanjakan bahaya itu namun sehingga kini masih tiada tindakan.
Rentetan itu, Tawfik dalam satu hantaran di Facebook meminta pihak berkenaan termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor cakna terhadap aduan penduduk dan tidak ‘membakul sampah’ keluhan rakyat.
Sebelum ini, pasar berkenaan yang berada dalam kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Pakatan Harapan) itu mendapat keluhan sama dalam kalangan penduduk setempat.
“Laluan turun naik ke pasar memang terlalu licin.
“Peniaga di pasar itu juga mengakui sudah banyak kali kejadian jatuh dan tergelincir berlaku dah banyak aduan telah dibuat kepada MPKK namun masih tiada tindakan,” kata penduduk setempat dikenali sebagai Rozimah Ghani dalam Facebook Penduduk Kulim, Lunas dan Padang Serai. – MalaysiaGazette