Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah antara HSK yang dalam keadaan bahaya.

SHAH ALAM – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) mendedahkan sekurang-kurangnya enam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor, termasuk HSK Bukit Cerakah berada dalam keadaan bahaya.

Wakil Peka, Abdul Razak Ismail berkata, lima hutan itu melibatkan HSK Kuala Langat Utara seluas 1,300 ekar, HSK Kuala Langat Selatan (700 ekar), HSK Bukit Lagong (2,190 hektar), HSK Hulu Selangor berhampiran Genting Highlands (400 ekar) dan HSK Sungai Panjang di Sabak Bernam (2,400 ekar).

Tegas beliau, semua HSK itu termasuk hutan paya gambut di Sabak Bernam telah diserahkan kepada syarikat pemaju untuk dimajukan dengan pelbagai aktiviti seperti pelancongan dan kuari.

“Peka dan beberapa NGO alam sekitar di Selangor telah berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan semua HSK ini, tetapi tidak membuahkan hasil kerana kerajaan negeri tidak melayan sebarang tuntutan kami.

“Oleh itu, kami datang jumpa calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Shah Alam, Isham Jalil minta beliau kalau dilantik sebagai Ahli Parlimen Shah Alam pada Sabtu ini, tolonglah tengok-tengokkan isu ini.

“Selain HSK Bukit Cerakah, lima lagi yang kami bangkit dan perjuangkan ini berada dalam keadaan yang sangat bahaya akibat sikap tidak peka dan tidak bertanggungjawab pemerintah,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, sebelum ini kerajaan Selangor telah menyerahkan kepada satu syarikat HSK Kuala Langat Utara seluas 1,300 ekar, tetapi telah dibatalkan kerana mendapat desakan serta tekanan daripada Masyarakat Orang Asli di situ.

Kata beliau, walaupun projek itu dibatalkan September tahun lalu, kerajaan negeri tidak mewartakan semula sebagai HSK sehingga kini.

“Di HSK Kuala Langat Selatan pula seluas 700 ekar diambil kononnya untuk dijadikan ladang jagung sebagai langkah kerajaan negeri seimbangkan harga makanan ayam yang melambung tinggi beberapa bulan lalu.

“Sekarang harga ayam sudah kembali normal, saya tidak tahu apa jadi pada HSK berkenaan yang dikatakan hendak diusahakan tanaman jagung itu.

“Kita juga ada masalah di HSK Bukit Lagong. Yang ini lagi teruk. Ia melibatkan 2,190 hektar. Hutan ini dikatakan dibahagikan kepada beberapa syarikat konsesi untuk buka kuari,” katanya.

Katanya, pada beliau syarikat yang diberi konsesi itu sebenarnya tidak layak membuka kawasan hutan itu kerana ada syarikat bermodalkan RM2, RM3, RM25 dan RM100.

Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan satu kawasan di HSK Hulu Selangor seluas kira-kira 400 ekar kononnya ada syarikat hendak majukan projek pelancongan.

“Akhir sekali HSK Sungai Panjang seluas 2,400 ekar kononnya hendak jadikan hub makanan Selangor.

“Semua ini memberi kesan kepada alam sekitar di Selangor kerana ia diberikan kepada syarikat yang tidak layak dan boleh mengundang bencana alam yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau berharap, pada PRU15 ini, BN dapat mengambil alih kerajaan Selangor dan menyelamatkan enam HSK ini, termasuk memantau 76 hutan bersaiz kecil yang terdapat di negeri itu.

“Pada saya, kalau tidak ada pemantau di pihak BN terhadap hutan ini, anak cucu kita tidak tahu hutan ini wujud atau tidak di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACFS), Dr. Lim Teck Wyn memberitahu, mereka sangat menyayangi hutan kerana menjadi tempat habibat dan perlindungan pelbagai jenis haiwan.

Katanya, pihaknya ada memohon untuk berjumpa Menteri Besar Selangor dan anggota Exco berkaitan, tetapi tidak dilayan walaupun banyak surat telah dihantar.

“Apabila usaha kami nak jumpa Menteri Besar dan Exco gagal, kami terpaksa menyuarakan kebimbangan ini melalui media, tetapi kami diugut saman oleh kerajaan negeri.

“Jadi, kami tidak ada pilihan, melainkan membawa kes ini ke mahkamah dan sekarang dalam proses semakan kehakiman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast