Datin Seri Fatimah Kassim.

MARAN – Isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib mengakui kini lebih tenang sejak bersama Perikatan Nasional (PN).

Datin Seri Fatimah Kassim berkata, ketenangan itu tidak pernah dirasai semasa menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Maran dahulu.

“Saya rasa hati saya tenang. Tak payah banyak berfikir. Tak berat kepala macam dulu kerana banyak berfikir.

“Kita bersama (muslimah Pas) sama-sama pergi rumah ke rumah.Mereka ajak, saya pun gembira. Dulu saya tak buat (masa dalam UMNO),” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Datin Seri Fatimah Kassim (tengah) bersama para penyokong PN di Maran semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Fatimah dan Datin Seri Shamsiah Yasin (Ketua Pergerakan Wanita UMNO Arau yang juga isteri kepada Datuk Seri Shahidan Kassim) digantung selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.

Ini kerana kedua-dua suami mereka yang digugurkan senarai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah menjadi calon Perikatan Nasional.

Dalam pada itu, Fatimah yakin beliau dan suaminya kini berhijrah ke arah kebaikan. Lebih-lebih lagi Ismail berbuat demikian selepas melakukan solat istikharah.

UMNO gantung Ketua Wanita Arau, Maran – Ahmad Maslan

Menceritakan peristiwa penghijrahan mereka, Fatimah berkata, ia berlaku dengan cepat.

Sebaik sahaja tidak dicalonkan, suaminya mendapat tawaran daripada Pas menjadi calon PN di Parlimen Maran walaupun sebelum itu calon Pas sudah ada.

Sehari selepas itu, Ismail mendapat panggilan telefon daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hasan menyatakan Majlis Syura Ulama bersetuju menjadikannya calon mewakili Pas.

Kemudiannya, Ismail menerima panggilan daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri menyuruh pergi ke Kuala Terengganu kerana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu mengumumkan Ismail sebagai calon mereka bagi Parlimen Maran.

Mengenai sokongan pengundi Maran, Fatimah yakin suaminya masih ada sokongan berdasarkan kempen yang dilakukan.

Malah beliau merasakan sokongan ahli dan pengundi UMNO juga masih ada memandangkan jasa suaminya selama ini dan beliau sendiri sebagai peneraju wanita bahagian.

“Lagi pun sebelum ini saya lama jadi guru di sini, banyak anak murid dan orang kenal saya dan mereka mungkin sokong suami saya,” katanya.

Ahli UMNO, katanya, mungkin tidak menyatakan sokongan secara terang-terangan.

Malah beliau diberitahu, sokongan pengundi terhadap BN merosot sekarang sehingga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terpaksa turun padang banyak kali ke Maran.

Terdahulu, beliau mendakwa selama menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Maran, beliau ‘ditekan’ oleh pucuk pimpinan.

Malah dalam banyak aktiviti, Fatimah mendakwa tidak mendapat peruntukan sewajarnya.

“Suami sayalah yang banyak keluar duit untuk bantu aktiviti saya dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Wan Rosdy pernah menyatakan ahli dan pengundi BN perlu ‘menghukum’ Ismail kerana mengkhianati parti.

Beliau yakin calon BN Parlimen yang sama, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin yang juga Ketua Bahagian UMNO Maran dapat mengekalkan penguasaan UMNO dalam PRU15.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ismail, Tuan Ibrahim gugat BN Pahang?