Kenyataan yang dikeluarkan Majlis Gereja-Gereja di Malaysia

KUALA LUMPUR – Majlis Gereja-Gereja Malaysia membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh penganut Kristian bekerjasama dengan sekumpulan Yahudi untuk mempromosikan agama itu dan memurtadkan umat Islam di negara ini

Setiausaha Agung, Jonathan Jesudas berkata, kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional itu tidak benar dan tidak bertanggung jawab.

“Kita hidup di negara berbilang agama dan kaum maka sensitiviti setiap masyarakat perlu diambil kira semasa berucap di forum awam.

“Kenyataan yang dilafazkan (Muhyiddin) secara sembarangan di tempat terbuka boleh menimbulkan ketegangan dan persengketaan kaum dan agama.

“Pihak berkuasa perlu menangani perkara ini bagi memastikan kenyataan palsu dan menyentuh sensitiviti pelbagai agama tidak diulangi.

“Perkara sebegini juga tidak harus dibernarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit 44 saat tular di media sosial memaparkan Muhyiddin memberitahu penonton supaya tidak memilih Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya esok.

Menurut Muhyiddin, PH adalah parti yang bahaya kerana beliau pernah terjumpa video mengenai sekumpulan orang Yahudi bercakap tentang Malaysia.

Calon PN Parlimen Pagoh itu mendakwa, kumpulan berkenaan berdoa supaya Malaysia jatuh ke tangan pembangkang yang menaja Yahudi dan Kristian.

Bekas perdana menteri itu mendakwa ada orang Islam pergi gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dan telah berlaku proses Kristianiasi di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast