Datuk Mohamad Razlan Raffi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO yakin parti itu akan menubuhkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tanpa menjalinkan kerjasama dengan gabungan parti politik lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohamad Razlan Raffi berkata, berikutan itu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ditolak pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sebelum ini.

“Keputusan mesyuarat dan PAU kita pegang dan kita tahu ini keputusan yang telah dibuat bahawa tidak akan ada kerjasama dengan PH.

“Itu keputusan yang telah dibuat dan kita telah mendapat laporan banyak agensi dan risikan bahawa BN akan menubuhkan kerajaan pada 19 November. Ini telah berleluasa kerana agensi ini adalah kajian yang sudah dibuat sekian lama.

“Sebelum bubar Parlimen rakyat telah buat keputusan untuk tidak kembali ke PH,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mohd Razlan berkata demikan bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerjasama antara PN dengan BN tidak akan berlaku.

Sebelum ini, pengundi dimomokkan dengan kenyataan bahawa BN akan menjalinkan kerjasama dengan PN khususnya Pas.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa PN sedia bekerjasama dengan BN dan membentuk kerajaan campuran selepas PRU15.

Namun, kenyataan Takiyuddin disanggah oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Muhyiddin, PN tidak pernah memberi mandat kepada pemimpin Pas itu itu untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan, selepas PRU15.

Dalam pada itu, Mohd Razlan berkata, senario pengundi kembali menyokong BN dilihat sebelum pembubaran Parlimen dilakukan dan mereka bertekad untuk tidak kembali ke PH.

Katanya pengundi juga melihat pentadbiran PN sebagai gagal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan tidak berkesan. – MalaysiaGazette