KUALA LUMPUR – Seluruh anak muda yang menjadi belia Malaysia diseru untuk mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
Presiden, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias), Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, keluar mengundi juga membuktikan partisipasi belia dalam sistem demokrasi yang dipraktikkan di Malaysia.
Menurutnya, kepentingan mengundi ini adalah bagi membentuk sebuah kerajaan yang akan menentukan dasar-dasar negara yang memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.
Tambah beliau, Pepias memuji memuji pelbagai usaha kerajaan, agensi dan juga badan bukan kerajaan (NGO) bagi menggalakkan dan memudahkan urusan keluar mengundi buat seluruh rakyat Malaysia.
Antara usahanya memberikan cuti khas pada 18 dan 19 November 2022 dan menyediakan bas percuma dari pelbagai kawasan untuk pulang ke kampung.
Pepiad juga turut sama berperanan mengadvokasi PRU15 menggunakan beberapa platform media sosial supaya kepentingan mengundi dapat disampaikan kepada pengundi baharu.
Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 16 Jun lalu menunjukkan pemilih berdaftar tambahan bagi Pilihan Raya Umum kali ke 15 (PRU15) adalah berjumlah 21,113,234 orang.
Pemilih berumur 21 tahun ke atas berjumlah 19,971,485 iaitu 94.6 peratus manakala pemilih berumur 18 hingga 20 tahun pula seramai 1,141,749 orang iaitu sebanyak 5.5 peratus.
Statistik ini kata, Muhammad Zakir menunjukkan peratusan yang besar bagi mempengaruhi keputusan PRU15. – MalaysiaGazette