Zulkifli Ismail

MELAKA – Pas Melaka menyifatkan kejayaannya memecah rekod kali pertama memenangi dua kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam sebagai ‘masakan’ yang sudah siap untuk dihidangkan.

Itu analogi diberikan Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail yang menang di kerusi Parlimen Jasin dengan majoriti 322 undi manakala timbalannya, Bakri Jamaluddin menguasai selesa di Tangga Batu dengan majoriti 8,849 undi.

Ditanya pandangannya mengenai keputusan semalam yang dilihat memecah tradisi kerana Pas tidak pernah memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka, Zulkifli memberi analoginya sendiri.

“Sebenarnya (Pas) bukan pecah tradisi, dia (kemenangan) macam kita masak, sampai satu peringkat akhir sekali boleh makan tapi kita kena masak dulu, potong sayur, potong bawang.

“Generasi awal Pas sudah buat itu, sudah masuk kicap jadi kebetulan kami ini sampai satu waktu di mana nak hidang, kemuncak sudah siap, rasa dia sedap maka dengan sebab itulah kita tengok rakyat memberikan sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Zulkifli menerima ucapan tahniah atas kemenangannya di Parlimen Jasin daripada peserta Kuliah Dhuha Mingguan di Baitul Qurro’ wal Fuqoha’, Payasum, Sungai Udang, Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian pada ketika ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Mingguan di Baitul Qurro’ wal Fuqoha’, Payasum, Sungai Udang di sini hari ini yang turut dihadiri Bakri.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kejayaan PN memenangi tiga kerusi Parlimen daripada kesemua enam kerusi ditandingi, PH menguasai tiga manakala Barisan Nasional (BN) tewas di semua enam kerusi adalah fenomena nasional yang menunjukkan rakyat mahu perubahan.

“Ini menunjukkan bagaimana rakyat begitu kehausan kepada pemimpin yang membawa budaya politik bersih sebagaimana jadi slogan PN membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin.

“Kini apa yang tinggal kepada kami adalah memastikan mandat rakyat sebagaimana yang dihasratkan pengundi dapat ditunaikan,” katanya lagi.

Keputusan semalam menyaksikan Zulkifli memperoleh 27,893 undi di kubu kuat UMNO meninggalkan calon BN, Datuk Roslan Ahmad (25,571) serta calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Harun Mohamad (21, 674) dan calon Pejuang yang hanya meraih 460 undi.

Kerusi Tangga Batu pula menyaksikan Bakri meraih 37,406 undi menewaskan penyandangnya Prof Madya Rusnah Aluai dari PH yang memperoleh 28,557 undi, calon BN, Datuk Lim Ban Hong (25,095 undi) serta seorang calon Perjuang dan Bebas yang turut hilang deposit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast