SHAH ALAM – Isham Jalil menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan hati terbuka.
Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Shah Alam kalah kepada calon Pakatan Harapan (PH) Azli Yusof.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan mengundi saya di Shah Alam pada kali ini.
“Terima kasih juga kepada jentera BN di Shah Alam khususnya dan seluruh negara amnya kerana telah bertungkus lumus membantu kempen saya sepanjang tempoh dua minggu ini dan empat tahun kebelakangan ini.
“Sebagai manusia kita berusaha, namun segala keputusan adalah ketentuan Allah SWT,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, beliau akan menguatkan semangat dan iltizam untuk terus berjuang kepada rakyat.
Katanya, jika ditakdirkan BN menjadi pembangkang kali ini, parti itu perlu menjadi pembangkang yang kuat untuk menyemak imbang kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Tahniah kepada yang menang dan yang membentuk kerajaan, semoga anda menjaga amanah diberikan oleh rakyat sebaiknya,” kata beliau. – MalaysiaGazette