Datuk Seri Saarani Mohamad ketika mengadakan sidang akhbar.

KUALA KANGSAR – Tidak ada sebarang memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedua-dua parti sudah berpengalaman dan ada sikap rasional sehingga tidak memerlukan MoU.

“Saya yakin kalau kita mempunyai niat dan tujuan yang sama untuk memberi fokus kepada pembangunan negeri untuk rakyat kita akan kesampingkan perbezaan-perbezaan yang ada dan memilih untuk mencari titik pertemuan kerana tujuannya sama.

“Siapa sahaja yang menjadi kerajaan mendapat kuasa fokus utamanya adalah untuk rakyat negeri Perak. Ketepikan segala perasaan sampuingan dan tumpukan kepada perkara-perkara yang sama,” jelas beliau.

BN menguasai sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH pula mendapat 24 DUN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 Sabtu lalu.

Kedua-dua parti mencapai persetujuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Perak dengan ADUN BN diberikan jawatan menteri besar, tiga Exco dan speaker DUN Perak.

Sementara itu, Saarani menjelaskan, BN menerima bekerjasama dengan PH kerana sebuah kerajaan yang stabil perlu dibentuk di negeri itu dengan segera demi kestabilan.

Ini kerana PH dan Perikatan Nasional tidak dapat bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan dan BN mengambil tempat tersebut demi rakyat.

“PH menang 24, PN menang 26. Jika bergabung ada 50 tapi itu tidak berlaku. Kedua-dua tidak boleh duduk semeja dan tidak boleh membentuk kerajaan.

“Saya tidak boleh membiarkan keadaan itu berteruskan kerana rakyat Perak tidak boleh dibiarkan dalam ketidaktentuan. Apatah lagi Dewan Undangan Negeri perlu bersidang segera untuk membolehkan bajet diluluskan.

“Maka kerana itu saya ambil peranan bagaimanakah kita boleh bersama-sama membentuk kerajaan yang kuat dan stabil sama ada bersama PH atau PN,” katanya.

Saarani berkata PH telah bertemu dengannya dan menawarkan jawatan menteri besar, tiga jawatan exco dan speaker DUN.

Buat sementara kerajaan campuran antara PH dan BN di Perak akan dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Perak.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kemaruk betul dia ni dgn kerusi MB tanpa disedari telah menjadi puppet/proxy DAP! Apa2 pun Mamat ni telah mengkhianati mandat akar umbi NO ANWAR NO DAP!

Comments are closed.