KUALA LUMPUR – Blok terbesar yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini boleh bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan yang berasaskan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA).
Jelas Penganalisis Sosiopolitik, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi, CSA lebih terperinci dan menjamin kestabilan kerajaan berbanding Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
Menurut beliau, CSA akan memberi ruang dan peluang semua parti yang menyatakan persetujuan untuk berkhidmat kepada rakyat sehingga pilihan raya seterusnya.
“PH boleh bentuk kerajaan minoriti melalui CSA, perjanjian dengan blok parti lain yang mana tidak boleh mengenakan undi tidak percaya sampai satu tempoh matang perjanjian.
“CSA lebih terperinci, maknanya PH memerintah tapi didokong parti pembangkang dengan ada kerjasama dan diberikan peruntukan kerajaan yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berpendapat CSA lebih menjamin kestabilan kerajaan dan memastikan ekonomi terus membangun seperti mana yang dilakukan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo yang membawa pemimpin pembangkang daripada Parti Gerindra, Prabowo Subianto menyertai Kabinet bagi tempoh 2019 hingga 2024.
“Sebab apa boleh pertimbang melakukan CSA, sebab kena lihat dan pastikan politik bergerak ke depan, yang penting adalah untuk stabilkan kerajaan, ekonomi. Jadi perlu lupakan sentimen politik,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian mengulas suhu politik yang kini hangat apabila tidak ada satu parti menang majoriti mudah pada pilihan raya baru-baru ini.
Pakatan Harapan memperoleh kerusi tertinggi iaitu 82 kerusi manakala Perikatan Nasional 73 diikuti Barisan Nasional (30).
Semalam, Yang di-Pertuan Agong memberi tempoh sehingga jam 2 petang hari ini untuk pemimpin utama parti yang terlibat dalam PRU untuk membuktikan memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Mengulas lebih lanjut Awang Azman berkata, sepatutnya blok yang terbesar memenangi banyak kerusi Parlimen baru-baru ini berhak memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain sebelum menubuhkan kerajaan.
Hari ini dilaporkan pemimpin Barisan Nasional (BN)
mengadakan pertemuan dengan PH di sebuah hotel di ibu negara. – MalaysiaGazette