BN Zahid
Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong menggesa Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan bagi membolehkan parti ini melakukan reformasi dalam struktur kepimpinannya.

Serentak itu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu memainkan peranan besar dalam menentukan siapa yang akan mengemudi parti buat masa sekarang sehinggalah Pemilihan UMNO diadakan kelak.

MKT juga perlu serius dalam merencana dan memastikan agar perubahan di dalam UMNO dapat dizahirkan dengan kadar segera, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Mohd Hazreq Mohd Husin.

Katanya, pihaknya yang kecewa dengan kekalahan UMNO/BN pada PRU15 mahu kelangsungan parti perlu menjadi keutamaan MKT agar UMNO boleh kembali kuat sebagai sebuah parti politik yang membela nasib seluruh rakyat Malaysia.

”Keputusan PRU15 melihatkan penolakan rakyat secara total terhadap parti yang bukan sahaja hanya memenangi 30 kerusi Parlimen tetapi tumbang di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini merupakan negeri di bawah pimpinan UMNO/BN.

”Pelbagai faktor yang membawa kepada kekalahan memalukan pada PRU kali ini. Antaranya, sikap Presiden yang dilihat angkuh dan sombong dalam
menjalankan tugasnya selain keputusan-keputusan kepimpinan yang tidak benar-benar berpaksikan suara serta denyut nadi rakyat menyebabkan parti kini dalam keadaan paling lemah dalam sejarah,” jelasnya.

Hazreq menambah, faktor-faktor tersebut mendorong pihak lawan untuk menggunakan naratif ‘1 undi untuk BN = 1 undi untuk Zahid’ dan ianya telah meresap ke dalam pemikiran rakyat sehingga meranapkan terus segala usaha BN untuk memacu pemulihan negara yang terjejas akibat daripada pandemik dan ketidaktentuan ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, satu demi satu kerusi Parlimen termasuk yang dahulunya menjadi kubu kuat BN tumbang di tangan lawan akibat daripada naratif yang dimainkan.

”Ini jelas menunjukkan bahawa presiden sendiri merupakan liabiliti kepada parti dan perkara tersebut perlu diperbaiki segera bagi mengembalikan parti UMNO/BN ke landasan yang betul,” tegas beliau.

Beliau juga juga menyarankan agar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melepaskan jawatan beliau di atas kegagalan mengemudi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan baik pada PRU15 selain kekalahan di kerusi Parlimen Gerik yang pada kebiasaannya adalah kerusi selamat BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast