Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, memberi bayangan pembentukan kerajaan baharu yang akan diterajui Perikatan Nasional (PN) dibuat dalam masa terdekat.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook, Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), memohon doa orang ramai supaya urusan berkenaan dipermudahkan.

“Doakan semoga Allah permudahkan pembentukan kerajaan baru dalam masa terdekat,” tulis beliau di laman sosial itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hanya memuatnaik sepotong ayat Quran:

“Cukuplah bagi kami Allah, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong kami.” tulisnya.

Semalam, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama PN.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pihaknya sudah mencapai persetujuan dan persefahaman dengan beberapa pihak bagi tujuan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa Abang Johari President GPS bukan Ahli Parliment, dia boleh bagi pihak GPS bloc untuk sokong Bloc yang lain, Umno ahli parliment dan President BN tak boleh sokong bloc yg dia yakin manpu menjalankan tugas tugas perdana menteri?
    Surat sokongkan akan dihantar ke Istana sebelum pukul 2;00 petang nanti. tetapi di sosial media diketuhui pihak PN sana telah dapat surat dari Istana?

Comments are closed.