nasrudin hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Kemenangan yang diraih Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelmarin merupakan satu ujian daripada Allah SWT.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ujian itu lebih berat bagi memastikan ketahanan para pemimpin dan ahli Pas dalam menghadapi hari-hari selepas meraih kemenangan.

“Inilah masanya para pejuang Islam yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat untuk terus buktikan, bukan sahaja upaya memimpin tetapi mengisi kemenangan dan memanfaatkan kejayaan ini dengan membina fikrah dan amal Islami yang indah dalam kepimpinan dan pentadbiran negara mahupun negeri.

“Saya percaya rakyat sedang menanti penuh debaran dan sangat teruja dengan pencapaian Pas kali ini. Pencapaian terbaik dalam sejarah perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pas memenangi sebanyak 49 kerusi Parlimen pada PRU-15, sekaligus menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 21 kerusi pada PRU-14.

Secara keseluruhan, Perikatan Nasional yang dianggotai Pas memenangi 73 kerusi Parlimen pada PRU15 namun tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian kerana gagal beroleh majoriti mudah.

Nasrudin turut menyifatkan kemenangan Pas itu sebagai anugerah yang amat besar daripada Allah SWT berbanding usaha dan ikhtiar hamba-Nya yang masih terhad dan terbatas.

Beliau berharap agar anugerah tersebut menjadi satu motivasi berupa hidayah dan taufik yang akan memandu jalan pejuang Islam agar lebih terbuka dan lebih berupaya meredah segala cabaran yang merintang.

“Perjuangan Islam untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi bertuah ini masih mempunyai jarak yang jauh dan masa yang lama sebelum menemui kesudahannya yang muktamad,” jelasnya.

Nasrudin juga menyeru kepada para pemimpin dan ahli Pas agar memelihara prestasi itu dengan memastikan pembinaan reputasi yang berkualiti tinggi berpandukan iman, takwa, ilmu dan akhlak yang mulia. – MalaysiaGazette