Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 NOVEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) konsisten menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, ia susulan perbincangan antara pimpinan PH dengan Barisan Nasional (BN) tidak menyebut mana-mana nama sebagai Perdana Menteri.

“Buat masa ini ya (saya calon Perdana Menteri), mereka (BN) tidak meletakkan nama lain dalam perbincangan mereka,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pasific, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berpuas hati dengan proses rundingan antara PH dan BN bagi pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun Anwar memberitahu, pihaknya memberi ruang kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memuktamadkan proses rundingan dengan pihak lain.

“Kita telah mengadakan beberapa perbincangan khususnya dengan perwakilan BN yang telah menetapkan tujuh orang untuk berunding dengan kita dan isu dasar

“Saya berpuas hati kerana perbincangan lebih tertumpu kepada keperluan untuk mewujudkan satu kerajaan yang stabil, inklusif menjaga kepentingan semua rakyat dan wilayah di negara ini.

“Kita juga meletakkan beberapa keutamaan dalam dasar pemerintahan terutama dalam membangun dan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih meyakinkan

“(Namun) BN memohon sedikit waktu untuk meneruskan proses perundingan dengan semua pihak yang telah memohon perundingan dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast