KUALA LUMPUR – Pelabur asing beralih kepada penjual bersih sekali lagi minggu lepas dengan melupuskan sejumlah RM272.0 juta ekuiti tempatan berbanding alirna masuk RM425.6 juta ada minggu sebelumnya.

Ia adalah minggu dagangan yang pendek berikutan cuti umum yang diberikan pada hari Jumaat untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 hujung minggu lalu.

Jualan bersih bermula pada hari Selasa yang menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi untuk minggu lalu sebanyak RM185.5 juta dan aliran itu diteruskan dengan aliran keluar bersih RM79.9 juta pada hari Rabu dan RM62.2 juta pada hari Khamis.

MIDF Research berkata, institusi tempatan adalah pembeli bersih minggu lepas dengan jumlah aliran masuk bersih RM152.5 juta dengan sebahagian besarnya dicatatkan pada hari Selasa sebanyak RM149.9 juta dan Rabu RM39.2 juta.

Sementara itu, Isnin dan Khamis menyaksikan jualan bersih institusi tempatan masing-masing sebanyak RM34.3 juta dan RM2.3 juta.

Sebaliknya, peruncit tempatan beralih menjadi pembeli bersih minggu lepas dengan jumlah aliran masuk bersih mingguan sebanyak RM119.6 juta.

Ini adalah pembalikan positif berbanding dengan jualan RM173.6 juta ekuiti dijual pada minggu sebelumnya.

Peruncit memulakan minggu ini dengan jualan bersih ekuiti bernilai RM21.3 juta.

Mereka kemudian bertukar menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk RM35.6 juta pada hari Selasa, RM40.7 juta pada hari Rabu dan RM64.6 juta pada Khamis – tertinggi untuk minggu lalu.

Firma Penyelidikan itu menambah, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 26 daripada 46 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.91 bilion.

Institusi tempatan pula penjual bersih selama 31 daripada 46 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.99 bilion.

Manakala peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selama 29 daripada 46 minggu 2022.

Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih pada RM2.08 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat kemerosotan dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV) oleh pelabur peruncit (-8.0%), pelabur institusi (-3.3%) dan pelabur asing (-0.1%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast