Abdul Razak Abdul Rahman

MELAKA – Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya cuba menjadi hero atau kingmaker dalam membentuk kerajaan ketika keadaan parti itu sendiri mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, BN juga harus berpijak di bumi yang nyata kerana sudah menerima mesej dan isyarat jelas daripada rakyat yang mahukan BN melakukan sesuatu.

“Sesuatu itu bukan bermaksud BN perlu menjadi hero atau kingmaker bagi membentuk kerajaan mahupun berada di dalam jemaah kabinet.

“Tetapi sesuatu yang itu perlu bermula dengan hati terbuka menerima kekalahan dan bersedia melakukan perubahan besar.

“Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah kerajaan yang dianggotai parti-parti yang kalah. Kita tidak mahu lagi terpalit dengan kerajaan yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, UMNO juga harus berlapang dada untuk menjadi pembangkang yang mampu buat ‘check and balance’ kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat dengan baik.

“Jika ada keperluan untuk BN menyatakan sokongan kepada mana-mana gabungan parti bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk, kita mungkin boleh bantu untuk mencukupkan kerusi sebanyak 112 secara Confidence and Supply Agreement (CSA).

“Ini juga harus dilakukan tanpa meletakkan sebarang syarat jawatan dalam Kabinet mahupun GLC dan kita bantu tubuhkan kerajaan untuk Malaysia bukan demi menyelamatkan individu tertentu,” katanya.

BN juga katanya, harus sedar diri dan kekal sebagai parti yang kalah dan menjadi pembangkang yang baik untuk negara.

“Bersedialah untuk lakukan perubahan dan itu perlu dilakukan bermula dari dalam,” tegasnya.

Pada PRU15 BN hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding keputusan PRU14 yang menyaksikan UMNO menang di 54 kerusi Parlimen. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast