KUALA LUMPUR – Selepas hari keempat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi lokasi tumpuan media untuk mendapatkan perkembangan semasa.
Pada jam 10 pagi tadi, sebuah kenderaan membawa beliau keluar dari kediamannya.
Walau bagaimanapun tidak dapat disahkan ke mana hala tujunya.
Beliau kemudian kelihatan kembali ke kediamannya hampir dua jam kemudian.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya PN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.
Muhyiddin bagaimanapun memaklumkan kepada baginda yang pihaknya tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana itu menjadi prinsip gabungan itu sejak dulu.
Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju mengenai cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.
Dalam masa yang sama, Barisan Nasional (BN) sehingga kini berpendirian untuk tidak bekerjasama sama ada dengan PN atau PH bagi menubuhkan kerajaan selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah pada PRU15. – MalaysiaGazette