Enam awak-awak warganegara Vietnam bersama sebuah bot nelayan tempatan ditahan Maritim Pahang kerana disyaki melanggar syarat sah lesen, pagi semalam

KUANTAN – Maritim Pahang menahan enam awak-awak warga Vietnam dan sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen, pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kesemua awak-awak itu ditahan pada kedudukan kira-kira 20.5 batu nautika dari Tanjung Tembeling, Kuantan semasa rondaan Op Makmur.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat sah lesen yang mana gagal mengemukakan lesen bot dan kesemua kru termasuk tekong tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Aset Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan seterusnya diperiksa dan ditahan pada jam lebih kurang 11.30 pagi.

“Bot tersebut dikendalikan tekong bersama awak-awak warganegara Vietnam kesemuanya seramai enam orang berumur antara 19 hingga 56 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bot tersebut mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu kesalahan-kesalahan melibatkan langgar syarat sah lesen.

Jelasnya, bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pernepa, Kuantan bersama peralatan menangkap ikan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasandi laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi MaritimNegeri Pahangdi talian09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette