Izubiela Zaffmarekan kini muncul dengan single pertama, Biasa Dia.

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu, Izubiela Zaffmarekan terharu apabila YouTuber antarabangsa terkenal, Nephi memujinya  mempunyai kebolehan menyanyi.

Dia yang juga seorang usahawan berkata, pujian itu memberi suntikan semangat untuk berusaha dengan lebih kuat dalam seni negara ini pada masa akan datang.

Muncul dengan single pertama, Biasa Dia, Izubiela berjanji akan mempelajari banyak ilmu untuk melengkapkan dirinya sebagai seorang penghibur.

“Saya terkejut rakaman nyanyian ‘suka-suka’ saya meraih perhatian YouTuber antarabangsa terkenal, Nephi yang membuat video reaksi terhadap video terbabit.

“Biar pun saya masih belajar dan baru dalam bidang nyanyian dan baru sahaja tampil dengan single Biasa Dia bersama Cat Farish dan pujian terbabit membuatkan saya bersemangat untuk sama-sama memeriahkan industri muzik,” katanya.

Izubiela juga tidak menyangka video eksperimen sosial yang dirakamkan ‘bocor’ sebelum dikongsi kepada pengikut di laman sosial miliknya.

Dia memberitahu video sosial ekperimen berbentuk gurauan (prank) tersebut dikongsikan oleh mangsa terlebih dahulu dengan pengguna TikTok popular sehingga tular dan meraih lebih 830,000 tontonan.

“Ketika itu, saya sedang merakamkan video prank dengan duduk bersendirian memakai baju gelap di sebuah hentian bas di sekitar Shah Alam.

Izubiela Zaffmarekan memiliki kulit wajah yang putih melepak hingga menjadi bualan warganet.

“Sebenarnya saya tak sangka, ‘mangsa’ bernama Amirul berkongsi video rakamannya sendiri dengan akaun TikTok popular yang sering membincangkan mengenai isu misteri sehingga ia tular di media sosial.

“Sebelum Amirul, ada beberapa mangsa termasuk dua wanita tetapi selepas sahaja prank selesai dirakamkan, kru kami mendekati mereka dan memberitahu ia hanya prank,” katanya.

Tidak menyangka video lain yang menjadi tular, dia yang pengasas produk Putih Gebu Izubiela ini menerima pelbagai komen warganet secara positif.

“Saya tak sangka video yang tersebar viral sedangkan video sebenar belum saya kongsikan lagi. Saya tergelak membaca pelbagai komen mengenai rakaman tular terbabit.

“Ada yang mengatakan saya ‘hantu putih melepak’, ada yang mengatakan saya bunian dan macam-macam lagi,” katanya. – MalaysiaGazette