Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Petuan Agong hari ini.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, pelantikan itu dibuat sebagaimana titah Tuanku bagi penubuhan kerajaan perpaduan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara.

Menurut beliau, Anwar telah melalui ranjau yang amat panjang dengan pelbagai cabaran dan ujian.

“Sudah tentu ianya akan menjadi azimat yang penting dalam mengemudikan negara ke arah lebih baik, tenang dan harmoni.

“Hubungan dan pengalaman luas Anwar di peringkat antarabangsa diharap akan memberi manfaat kepada negara terutama keyakinan kepada pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia dalam masa terdekat.

“Putra yakin dan percaya usaha membanteraskan rasuah akan lebih berkesan di bawah pimpinan Anwar yang dikenali kuat dan tegas menentang apa saja bentuk rasuah dulu, kini dan diyakini buat selamanya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Ibrahim beliau juga yakin Anwar akan tegas melindungi kepentingan umat Melayu, kaum pribumi dan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan walaupun meraikan kepentingan semua kaum yang merupakan rakyat Malaysia.

Katanya, Putra yakin perkara asas Perlembagaan Negara seperti Fasal 151, 152 ,153 dan yang berkaitan diperkasakan terutama Islam agama Persekutuan, bahasa Melayu bahasa Kebangsaan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Hak keistimewaan Orang Melayu dan hak lain-lain kaum.

“Beliau turut menaruh keyakinan Anwar akan berusaha dan mengambil tindakan mengembalikan status tanah rizab Melayu ke tahap 50 peratus sebagaimana jaminan dalam perlembagaan.

“Mengikut laporan terbaharu Ketua Audit Negara, tanah rizab Melayu di Selangor kini tinggal 20 peratus sahaja. Ianya salah disisi perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette