Negara Ukraine masih bergelap selepas diserang Rusia. Foto Twitter

KYIV – Sebanyak 50% daripada keperluan elektrik di Ukraine tidak dapat dipenuhi pada masa ini selepas serangan peluru berpandu besar-besaran Rusia minggu ini.

Pengendali kuasa Ukrenergo berkata, keutamaan adalah untuk membaiki infrastruktur utama, oleh itu kerja-kerja pembaikan mengambil lebih banyak masa.

Presiden Volodymyr Zelensky berkata, “situasi paling sukar” di 15 wilayah, termasuk ibu kota Kyiv.

Di seluruh Ukraine, musim sejuk melanda, dengan salji dan suhu di bawah sifar.

Terdapat kebimbangan risiko lebih ramai penduduk seluruh negara mati akibat hipotermia.

Pada pagi Khamis, kira-kira 70% penduduk Kyiv bangun tanpa bekalan elektrik.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko memberitahu BBC, beliau tidak menolak “senario terburuk” apabila bandar ini mengalami gangguan elektrik, haba dan air.

Tetapi pada hari sama, pihak berkuasa Ukraine berkata, bekalan elektrik dan air secara beransur-ansur dipulihkan di semua wilayah.

“Air mengalir perlahan. Cuma tiada elektrik lagi,” kata Roman, seorang penduduk Kyiv.

Namun selepas lebih 24 jam, Roman berkatam, bekalan elektrik sudah diperoleh.

Tonya, seorang lagi penduduk Kyiv berkata, dia tidak mempunyai bekalan elektrik selama 48 jam.

“Saya kini mempunyai air hari ini tetapi bekalan kecil dan masih tiada bekalan elektrik,” katanya.

Pihak berkuasa Ukraine berkata mereka telah menubuhkan lebih daripada 4,000 “titik kebal” di seluruh negara – khemah yang dipanaskan sementara di mana orang ramai boleh mengecas telefon mereka dan minum teh atau kopi.

Dalam ucapan videonya lewat Khamis, Presiden Zelensky berkata, tentera Rusia “tidak tahu bagaimana untuk berperang”.

“Satu-satunya perkara yang mereka masih boleh lakukan ialah keganasan. Sama ada keganasan tenaga, atau keganasan artileri, atau keganasan peluru berpandu – itu sahaja yang telah dilakukan oleh Rusia di bawah pemimpin semasanya,” katanya. – Agensi