KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali menuntut sebarang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, BN tetap akur dengan perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah semua parti politik menyertai sebuah kerajaan ini demi rakyat.
“Walaupun kita akur dengan sebuah kerajaan perpaduan seperti yang telah di titah oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi pada masa sama kita juga tidak boleh menuntut apa-apa jawatan Kabinet. Itu yang sebetulnya.
“Ini sejajar dengan ketetapan yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menolak sebarang kerjasama antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Sejurus selepas ketetapan itu dibuat dalam PAU, perkara itu juga telah dibawa ke Dewan Tertinggi BN dan kita semua telah bersetuju dengan ketetapan itu.
”BN tidak boleh menuntut apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana inilah prinsip dan ketetapan kita sebelum ini. Kita telah buat keputusan untuk menyokong mana-mana pihak, itu juga adalah keputusan terakhir BN atas tujuan ‘cooling off period’.
”Tetapi titah Tuanku pula berhasrat supaya adanya kerajaan perpaduan dan semua pihak menerima titah itu. Kita terima dan junjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Melainkan atas dasar budi bicara Perdana Menteri mahu memberikan jawatan dalam Kabinet kepada wakil rakyat BN namun perkara itu belum lagi dibincangkan.
Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya selalunya akan ada rundingan dan perbincangan tentang siapakah yang bakal menerajui jawatan terpenting dalam Kabinet namun ia tidak berlaku kali ini.
”Ini bukan lagi tentang ‘the best deal’ atau rundingan paling baik sebaliknya ini tentang BN akur kepada titah Tuanku yang memerintahkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” ujarnya.
Vigneswaran menambah, tidak ada salahnya untuk mana-mana pihak tampil mengemukakan bukti bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen bagi mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri ketika sidang Dewan Rakyat kelak.
”Itu bukan titah Tuanku. Jadi sesiapapun mempunyai kebebasan di negara demokrasi ini untuk tampil mengemukakan bukti sokongan majoriti di Parlimen, itu tidak menjadi masalah. Secara perlembagaan juga, ini tidak salah.
”Saya tidak rasa ada yang akan tampil bersuara nanti kononnya ini bukan kehendak Tuanku kerana baginda hanya bertitah supaya adanya satu kerajaan perpaduan. Kita semua akur dan junjung tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette