Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan ada pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pas yang dikatakan berlangsung di Tropicana Golf Resort, semalam.

”Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

”Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan Pas (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya yang dilapor Malaysiakini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu menyifatkan fitnah itu sebagai cubaan untuk merosakkan namanya.

Beliau turut menafikan pertemuan itu membabitkan 10 orang, sebaliknya lima orang sahaja.

Dalam hantaran tular di Twitter, pertemuan antara pemimpin BN dan Pas dikatakan berlangsung di lokasi berkenaan dari 10.30 pagi hingga tengah hari semalam.

Selain Ismail Sabri, hantaran itu mendakwa antara pemimpin lain yang hadir termasuk Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz.

Khabar angin berhubung pertemuan di Tropicana Golf Resort yang diberi jolokan “Langkah Tropicana” itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakam ketika pertemuan itu.

Bagaimanapun, Ka Siong menafikan terlibat dalam pertemuan terbabit sebaliknya berada di situ untuk bersama dua rakannya untuk makan dimsum.

Dalam pada itu, Ismail Sabri semalam berkata, beliau hadir di situ untuk majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.

Khairy Jamaluddin turut difitnah melakukan gerakan untuk melawan Presiden UMNO. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi perdana menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan parti,” katanya.

Annuar turut menafikan dakwaan berhubung pertemuan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.