Pengerusi Perikatan Nasional Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Pahang mempersoalkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) di negeri terbabit.

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, beliau tertanya-tanya apakah ‘gula-gula’ yang diberikan kepada BN bagi merealisasikan pembentukan kerajaan negeri Pahang pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Saya tidak tahu apa ‘gula-gula pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sejak awal lagi PN bersedia untuk berunding bagi perbentukan kerajaan negeri Pahang tetapi bukan dengan PH.

“Tetapi BN pula menuntut jawatan Menteri Besar dan mahukan tujuh kerusi Exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi exco sahaja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.

“Sifat tamak dan mahu mengenepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar UMNO-BN yang rakyat perlu sedar,” kata Saifuddin lagi.

PH Pahang semalam berkata, pihaknya sebulat suara bersetuju memberi sokongan secara rasmi kepada BN dalam membentuk kerajaan negeri.

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat gabungan itu semalam.

PRU15 lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN 16 kerusi DUN dan PH hanya lapan kerusi DUN. – MalaysiaGazette