Pas dan Bersatu sebagai pembangkang boleh jalankan peranan semak imbang.- Gambar hiasan

MOHON maaf kalau rencana kali ini panjang. Setelah melalui hampir tiga tahun pemerintahan pintu belakang dan lima hari yang lama selepas pilihan raya umum 19 November, adalah sukar meringkaskan cerita mengenai bagaimana kita sampai di sini.

2. Cerita ini bermula dengan kegagalan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan sendiri menyesuaikan diri dengan persekitaran baru perkongsian kuasa. Ramai masih berperangai lama, bermusuh dan saling curiga mencurigai malah membenci.

3. Bukan saja antara parti anggota tetapi dalam satu parti seperti Dr Mahathir Mohamad yang tidak selesa dengan tempoh jawatan yang bersyarat, Mohamed Azmin Ali membenci Anwar Ibrahim, Mahiaddin Md Yasin mahu lebih berkuasa dan takut hilang undi Melayu kerana kempen musuh PH menjadikan DAP “bogeyman”.

4. Akibat pengkhianatan dari dalam dan konspirasi oleh musuh dari luar, khususnya Barisan Nasional dan Pas, maka pada 23 Februari 2020, melalui “Sheraton Move”, tumbanglah kerajaan PH selepas 22 bulan bagi digantikan oleh kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional dan selepas 17 bulan oleh kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Umno. Label tebuk atap itu adalah “fatwa” Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, sabelum dilantik menjadi Duta Khas Bertaraf Menteri.

5. Berbalik kepada PRU Ke-15 ini, mungkin ada orang tidak sedar atau terlepas pandang bahawa pencetus persaingan hebat, khususnya bagi mendapatkan undi Melayu, adalah Pas. Persaingan banyak penjuru itu memecah-belahkan undi Melayu.

6. Boleh kata hingga ke saat akhir penentuan pakatan pilihan raya, Pas masih bermain kayu tiga dengan Bersatu dan Umno. Dengan Bersatu menggunakan platform Perikatan Nasional, di mana ia sudah ada jawatan, dan dengan Umno melalui Muafakat Nasional dengan harapan habuan yang lebih lumayan.

7. Ada orang kata, Pas pandai strategi pilihan raya. Saya kata, Pas adalah “unscrupulous” dan pada masa yang sama, pragmatik dan oportunistik. Boleh kata tidak ada parti yang Pas tidak memadu cinta berahi dalam sejarah kewujudannya – dengan BN zaman Almarhum Tun Abdul Razak, Semangat 46, PKR dan DAP.

8. Menjelang PRU Ke-15 ia bermesra dengan Umno kerana Umno menerajui kerajaan melalui Ismail  Sabri. Tapi Umno bermasalah kerana kluster mahkamah. Pas tidak mahu terpalit. Bersatu kurang bermasalah dan ada sumber kewangan. Pas pilih Bersatu.

9. Pilihan yang tepat. Pas bertanding di 70 kerusi Parlimen dan menang 49, menjadi parti terbesar dalam Dewan Rakyat. Satu sejarah. Bersatu bertanding 80 kerusi, menang 24 saja – lebih kurang senasib dengan Umno yang bertanding 120, menang 26. Pas menjadi lebih besar dan berpengaruh daripada Bersatu.

10. Parti yang Pas, Umno dan Bersatu benci dan kutuk siang malam iaitu DAP yang bertanding 55 kerusi, menang 40. PKR pun tidak hebat mana. Bertanding 103, menang 31 saja. Tetapi tidak ada siapa yang boleh menandingi Pejuang/GTA yang kalah di semua 115 kerusi yang ditandingi.

11. Namun tidak semua yang Pas rancang dan diidamkan berlaku. Walaupun menang besar, tetapi rakan-rakan kongsinya gagal. Lantas matlamat mencapai kemenangan mutlak atau setidak-tidaknya kerusi terbanyak gagal dicapai. PN menang 73 kerusi mengekori PH dengan 82 kerusi.

12. Akhirnya harapan Pas menerajui negara tidak tercapai. Percubaan PN menubuhkan kerajaan campuran tidak berjaya kerana PH mempunyai lebih banyak kerusi dan Yang di-Pertuan Agong mahukan kerajaan perpaduan.

13. PN tolak saranan Baginda maka jadilah ia pembangkang. Nanun ada kebaikannya. Pas dan Bersatu sebagai pembangkang boleh jalankan peranan semak imbang. Kita pun tidak mahu kerajaan perpaduan ini menjadi kerajaan yang sombong dan meragukan.

Sekian. Terima kasih.- MalaysiaGazette

PENAFIAN: Kandungan ini bukan pendapat MalaysiaGazette

A Kadir Jasin
A. Kadir Jasin

Kadir Jasin merupakan bekas wartawan, ahli politik dan penganalisi politik.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast