Rishi Sunak

LONDON – Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak sedang mempertimbangkan langkah menghentikan pengambilan pelajar asing melainkan mereka mendapat tempat di universiti terbaik.

Agensi melaporkan ia merupakan antara langkah baharu diperkenalkannya bagi mengekang kemasukan pendatang asing di negara itu.

Selain itu Sunak dikatakan juga mempertimbangkan larangan menyeluruh terhadap pelajar luar negara yang membawa keluarga mereka bersama.

Beliau menegaskan, jumlah pendatang asing akan dikurangkan dan membayangkan tindakan tegas terhadap visa pelajar selepas angka pendatang di United kingdom (UK) melonjak ke rekod tertinggi melebihi setengah juta tahun lalu.

Kerajaan Britain berkata, rancangan untuk mengurangkan jumlah itu mungkin merangkumi halangan terhadap pengambilan keluarga pelajar antarabangsa dan menyekat kemasukan ke universiti terkemuka.

Sebelum ini Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman mengadu mengenai pelajar asing mengambil kesempatan untuk membawa bersama ahli keluarga lain menggunakan visa pelajar mereka.

Menurut anggaran Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), lonjakan itu didorong oleh faktor ‘unik’ termasuk skim visa untuk warga Ukraine dan Hong Kong serta pelajar yang tiba dari luar Kesatuan Eropah (EU).

Pendatang asing yang tiba dengan visa pelajar menyumbang bahagian terbesar migrasi jangka panjang bagi warga bukan EU iaitu sebanyak 277,000 orang. -MalaysiaGazette