KUANTAN – MCA akan menyokong dan mahu memainkan peranan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat memelihara kepelbagaian, kesederhanaan dan membela nasib rakyat.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, keutamaan MCA pada ketika ini adalah untuk melihat secara mendalam keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dan merangka strategi membina semula partinya.
“Pada hari ini, MCA telah mengadakan sesi taklimat dan memperincikan perkembangan politik semasa kepada para pemimpin MCA peringkat akar umbi serta mendapatkan pandangan mereka.
“MCA juga akan memberi tumpuan kepada dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi selain memperbaiki kelemahan yang ada dan berusaha untuk memenangi semula sokongan pengundi,” katanya dalam sagtu kenyataan hari ini.
Jelasnya ia seiring titah Yang di-Pertuan Agong, MCA bersama Barisan Nasional akur dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Justeru MCA juga menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan bagi menjamin kestabilan menerusi perdamaian politik dan bergerak ke hadapan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi demi kepentingan rakyat serta negara ini. – MalaysiaGazette