Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Datuk Seri Saifuddin Abdullah semasa Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) di Striti Darul Ummah, Pianggu, Rompin malam tadi.

ROMPIN – Dakwaan kononnya Pas mahu ‘membunuh’ UMNO disifatkan mengarut oleh presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) di Striti Darul Ummah, Pianggu di sini malam tadi, beliau berkata, Pas dan UMNO seolah-olah adik beradik dan satu kaum.

“Saya difahamkan kenapa orang UMNO tidak mahu bergabung dengan Pas di Pahang ini kerana takut Pas bunuh UMNO. Bila Pas nak bunuh UMNO?

“Ia tak betul, bohong. Bila Pas nak bunuh UMNO?” soalnya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyingkap sejarah sejak 1950-an di mana Pas sentiasa menjadi sahabat UMNO ketika krisis dihadapi parti itu dan pemimpinnya termasuk Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Mahathir Mohamad.

“Pilihan Raya 1959, 60 kerusi Parlimen lepas merdeka, Datuk Onn kalah di Johor. Orang Pas jemput Datuk Onn bertanding di Kuala Terengganu. Menang di Kuala Terengganu. Dia Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

“Orang Johor tolak Datuk Onn, pemimpin UMNO. Pas ambil Datuk Onn jadi Ahli Parlimen di Terengganu. Baca sejarah,” katanya.

Selain itu, Timbalan Pengerusi PN itu juga menegaskan, DAP sebenarnya mempunyai sejarah ‘membunuh’ UMNO.

Katanya, Lim Kuan Yew menubuhkan parti Parti Tindakan Rakyat (PAP) di singapura dan meletakkan barisan pemimpin Melayu untuk meraih pengundi, sama seperti dilakukan DAP di Malaysia yang menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wajahnya.

“Lepas itu, UMNO ditelan. Habis UMNO ditelan di Singapura oleh PAP. Singapura masuk Malaysia, PAP tubuh cawangan di Semenanjung pada 1963.

“Siapa yang bunuh UMNO dahulu di Singapura? DAP! Bukan Pas. Ini dia ‘anak’ kelahiran PAP di Singapura. UMNO lenyap di Singapura. Siapa bunuh? Pas ke bunuh? Sedar-sedarlah ahli UMNO,” tegasnya.

Justeru, beliau menempelak tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memilih bersama Pakatan Harapan (PH) susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan mahu pun di Pahang sendiri.

“Kita ni adik-beradik, satu kaum. Pergi terkam kat DAP pasal apa. Terkam DAP. Mungkin (pemimpin) yang baru ini tak baca sejarah. Kononnya Pas nak bunuh UMNO?” soalnya sinis.-MalaysiaGazette