Mohd. Imran Tamrin. foto ISKANDAR HAMIDI, 9 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Perkembangan semasa dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman memberi bayangan lebih banyak kerjasama akan wujud antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas ini.

Exco Pemuda BN Malaysia, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau tidak menolak kebarangkalian itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor berdasarkan tindakan PH yang memberi laluan kepada BN dalam dua PRK tersebut.

“Selepas pasca PRU15, kita melihat ada beberapa dinamik politik khususnya apabila kerajaan Persekutuan yang dibentuk melalui perpaduan dua parti besar iaitu PH dan BN yang bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Saya tidak menafikan kerjasama itu kemungkinan berlaku kerjasama ke arah itu, melihat kepada situasi dan juga dinamik politik semasa di peringkat Persekutuan.

“Namun perkara ini kita mesti melihat secara menyeluruh tentang perkembangan politik semasa, iaitu dalam dua PRK yang sedang berlaku di Padang Serai dan DUN Tioman.

“Kita lihat perkembangan mungkin kalau ada persefahaman, PH memberi laluan kepada BN, atau BN bekerjasama dengan PH untuk berlawan satu sama satu dalam PRK tersebut.

“Ini akan menjadi satu isyarat yang lebih jelas bagaimana Selangor akan berhadapan dengan PRN nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Mohd Hatta Md Ramli bersetuju calonnya yang mewakili PH memberi laluan kepada calon BN dalam PRU15 bagi kerusi DUN Tioman.

Mohd Hatta berkata, keputusan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan Persekutuan.

Selain itu, katanya, jentera pilihan raya PH akan bergerak bersama dalam setiap kempen BN pada pilihan raya bagi memenangkan calon mewakili kerajaan perpaduan itu.

PRU15 di kedua-dua kawasan itu ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding sebelum ini, iaitu M Karupaiya daripada PH bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili PN untuk DUN Tioman.

Dalam pada itu, Imran berkata, sehingga kini ahli-ahli Dewan Negeri BN Selangor belum menerima arahan untuk membincangkan soal kerjasama itu.

“Cuma setakat ini saya dan Ahli-Ahli Dewan Negeri BN, kita belum lagi mengumumkan atau diberikan arahan lanjut berkenaan dengan perkara ini.

“Ini kerana kepimpinan UMNO Selangor baru ada pentadbiran baharu yang mana Tan Sri Noh Omar sebelum ini telah pun melepaskan jawatan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor

“Kini telahpun dilantik Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang baharu dan Datuk Johan Abd Aziz sebagai timbalan pengerusinya.

“Saya percaya selepas ini mungkin ada perbincangan-perbincangan lebih lanjut berkenaan dengan kerjasama untuk BN dan PH mendepani PRN Selangor pada tahun hadapan,” katanya.

Ditanya tentang pembahagian kerusi antara BN-PH jika kerjasama itu berlaku, Imran berkata, perkara mungkin dilaksanakan dan ia hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan BN.

“Di Selangor ini semasa pasca PRU14, memang dikuasai oleh PH, di mana BN cuma ada lima kerusi sahaja iaitu UMNO.

“Saya percaya kalau kita memutuskan untuk bekerjasama dan satu lawan satu dengan PN, sudah pasti perbincangan ke arah pembahagian kerusi tersebut.

“Saya ingat ini akan diputuskan oleh pucuk pimpinan,” katanya. – MalaysiaGazette