Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang wanita yang mendakwa dirogol seorang lelaki di sebuah apartment di Taman Zooview, Ampang, dekat ini pada 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun itu yang merupakan seorang  peniaga pada 5 November lalu di Balai Polis Kajang.

“Antara isi kandungan laporan berkenaan, mangsa mendakwa telah dirogol tanpa sedar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas diberi minuman berperisa epal di apartmen berkenaan pada jam 10 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau wanita itu menghilangkan diri sejurus selepas membuat laporan polis dan pihaknya telah memulakan siasatan.

Menurut Mohamad Farouk, cubaan menghubungi wanita tersebut gagal dan siasatan lanjut mendapati alamat yang diberikan pengadu tidak wujud.

Bagaimanapun, kata beliau, polis telah mengesan satu ciapan telah dimuat naik oleh pemilik halaman Twitter berkaitan dakwaan kejadian rogol itu dan memohon pemilik akaun Twitter itu memebri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya. – MalaysiaGazette