ROMPIN – Perikatan Nasional (PN) menolak untuk menyertai Kerajaan Perpaduan kerana gabungan itu didominasi parti bukan Islam.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, DAP yang mendominasi gabungan itu pernah menentang Islam dan dasar-dasar yang dipegang Pas ketika kedua-dua parti itu bekerjasama sebelum ini.
“Pilihan raya baru-baru ini, orang Islam 80 peratus atau lebih memilih Perikatan Nasional (PN). Bersama kaum-kaum lain bukan Melayu sahaja termasuk Bumiputera, Cina dan India, bumiputera Sabah dan Sarawak memilih PN.
“Dominasinya adalah orang Islam bumiputera. Suruh kita sokong kerajaan minoriti yang dibentuk ini yang didominasikan oleh parti DAP yang bukan Islam,” katanya dalam Ceramah Umum PN Pahang di Striti Darul Ummah, Pianggu malam tadi.
Presiden Pas itu turut mengkritik pendirian Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 82 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini menjemput parti yang pernah diselar sebagai ‘perompak’, ‘penyamun’ dan ‘pemberi rasuah’ untuk mencukupkan majoriti bagi membentuk kerajaan.
“Dalam ucapan, bukan main. Menentang rasuah, menentang perompak, menentang lanun. Bila tubuh kerajaan, panggil yang jenis-jenis ini untuk cukupkan jumlah. Macam mana nak suruh kami terima. Kami ada maruah.
“Ada orang kata, betullah dia punya tema ‘Kita Boleh’. Semua boleh, yang halal pun boleh yang haram pun boleh,” tempelaknya.
Abdul Hadi mendakwa penyertaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan juga hampir tidak disokong ahli-ahli UMNO sehingga menimbulkan protes dalam kalangan ahlinya di seluruh negara.
“Timbul kekecohan dalam UMNO, orang UMNO protes menandakan benda (gabungan dengan PH) ini tak sihat. Kita hormati, sayang saudara kita orang-orang UMNO. Bukan semua dalam UMNO macam itu. Ada orang UMNO yang protes apa yang berlaku ini,” katanya lagi.
Justeru, Abdul Hadi menasihati pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman ini supaya mempertimbang senario politik yang berlaku baru-baru ini dan tidak menyokong gabungan parti yang didominasi bukan Islam pada pemilihan 7 Disember nanti. – MalaysiaGazette