Ahli Dewan Negeri Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias

SHAH ALAM – Persidangan Dewan Negeri Selangor menjadi kecoh hari ini apabila Ahli Dewan Negeri Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias digelar ‘burung tua’ oleh wakil Pakatan Harapan (PH) selepas dihalang mencelah.

Mohd Shamsudin membidas sikap Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan itu sambil menasihatkannya agar lebih beradab ketika berucap di Dewan Negeri Selangor.

“Kita boleh bercakap tapi jangan singgung perasaan, saya boleh maafkan tapi tidak boleh terima tuduhan sebagai burung tua, saya dah berumur tapi adakah wajar kita menuduh,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, Sany ketika bangkit mencelah semasa Shamsudin berucap di Dewan Negeri Selangor dengan menggelar beliau sebagai ‘burung tua’ apabila Ahli Dewan Negeri Taman Templer itu tidak diberi laluan untuk mencelah.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan

Susulan teguran itu, Sany kemudiannya mengakui keterlanjuran sikapnya itu dan memohon maaf serta menarik balik kenyataannya kepada Ahli Dewan Negeri veteran itu.

“Saya mohon maaf, saya tarik balik,” kata Sany.

Shamsudin kemudiannya menerima permohonan tersebut namun beliau tidak akan melupakan tindakan wakil PH itu yang melabelkannya dengan gelaran yang tidak sewajarnya.

“Terima kasih, saya sebenarnya sudah maafkan sebelum (Sany) mohon maaf, tapi saya tidak akan lupa, perasaan kita perlu jaga.

“Saya ingin menjelaskan supaya apa yang berlaku semasa kempen PRU15 biarlah ia jadi sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. baru nikah biar lah beradab sikit . lupakan lah sengkita lama . kenang kan lah perkahwinan ini sebagai kahwin paksa demi rakyat dan negara . musuh sentiasa memerhati untok menyerang . lain kali parti hendak lah memilih calun yang beradab untok jadi wakil rakyat . tak ada sijil ijazah tak apa janji perangai baik hati jujur

Comments are closed.