Timothy Tye.

GEORGE TOWN – Lima Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pulau Pinang berharap kerajaan baharu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan projek infrastruktur yang tertangguh di negeri ini.

Antara NGO tersebut ialah Rangkaian AnakPinang, Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang, Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas, Pertubuhan Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang serta Pertubuhan Generasi Wawasan Pulau Pinang.

Wakil Rangkaian Anak Pinang, Timothy Tye berkata, pembangunan seperti Transit Aliran Ringan, Lebuhraya Pan Island Link, Projek Selatan Pulau Pinang PSI, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak akan memberi manfaat kepada Pulau Pinang secara keseluruhan dengan menyediakan infrastruktur kritikal, mewujudkan aktiviti ekonomi, dan memastikan kemampanan negeri dalam jangka masa panjang.

“Pulau Pinang memerlukan pembangunan, pekerjaan baharu, infrastruktur kritikal dan ekonomi yang teguh seperti bahagian-bahagian lain di negara ini.

“Infrastruktur ini adalah penting untuk membangunkan daya tahan negeri ini terhadap tekanan ekonomi, alam sekitar dan sosial yang semakin meningkat.

“Ramai dalam kalangan kami sangat kecewa kerana kelulusan untuk projek-projek ini tidak dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, Pulau Pinang adalah negeri kedua terkecil di Malaysia, tanpa sumber asli, tetapi menyumbang kira-kira RM10 bilion bayaran cukai kepada Kerajaan Persekutuan setiap tahun namun dianaktirikan oleh kerajaan terdahulu.

“Sehubungan itu, kami berharap Kerajaan Persekutuan yang baharu akan menghentikan tindakan meminggirkan Pulau Pinang dan menyegerakan semua projek infrastruktur yang tertangguh di negeri ini,” jelasnya. -MalaysiaGazette